Penentuan Waktu Solat – Subuh, Zohor, Asar, Maghrib & Isyak

Waktu_Solat_Jadual_Waktu_SolatAyat-ayat Al Quran tidak menyatakan secara khusus bilakah masuknya waktu solat  melainkan ketetapan lima waktu solat iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Kelima-lima waktu solat ditakrifkan dengan tepat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, An Nasai dan At Tarmizi dari Jabir ibnu Abdullah RA iaitu:

Telah datang kepada Nabi SAW Jibril AS lalu berkata kepadanya: Bangun dan bersolatlah. Maka Nabi pun bersolatlah. Maka Nabi bersolat Zohor diketika telah gelincir matahari. Kemudian datang lagi kepadanya di waktu Asar lalu berkata: Bangun dan bersolatlah. Kemudian Nabi solat Asar di kala bayang-bayang sesuatu sama dengannya. Kemudian ia datang lagi di waktu Maghrib lalu berkata: Bangun dan bersolatlah. Kemudian Nabi bersolat Maghrib di kala matahari terbenam. Kemudian ia datang lagi di waktu Isyak lalu berkata: Bangun dan bersolat. Kemudian Nabi solat Isyak di kala mega merah telah terbenam. Kemudian ia datang lagi di waktu Subuh di ketika telah cemerlang fajar.

Kemudian ia datang pula keesokan harinya pada waktu Zohor. Jibril berkata: Bangun dan solatlah. Kemudian Nabi bersolatlah Zohor ketika bayang-bayang sesuatu sama dengannya. Kemudian datang lagi di waktu Asar lalu berkata: Bangun dan bersolatlah. Kemudian Nabi bersolat Asar di kala sesuatu dua kali sesuatu itu. Kemudian ia datang lagi di waktu Maghrib dalam waktu yang sama macam kelmarin juga. Kemudian ia datang lagi di waktu Isyak di kala telah berlalu separuh malam, maka Nabi bersolat Isyak. Kemudian Jibril datang lagi di kala telah bercahaya benar lalu berkata: Bangun dan solatlah. Maka Nabi pun bersolatlah Subuh. Sesudah itu Jibril berkata; di antara waktu-waktu ini, itulah waktu solat.”

Kesimpulan berdasarkan hadis di atas bahawa pada hari pertama Jibril datang kepada Nabi SAW adalah untuk penentuan awal waktu solat manakala pada hari kedua adalah untuk penentuan akhir atau berakhirnya waktu solat. Jadi, menurut hukum dan juga dari segi kajian ilmu falak (astronomi) dapatlah ditakrifkan seperti berikut;

 1. Waktu Zohor

Hukum: Waktu solat Zohor, awal waktunya setelah tergelincir matahari dari pertengahan langit. Akhir waktunya adalah apabila bayang-bayang sesuatu telah sama dengan panjangnya selain dari bayang ketika matahari berdiri tegak di atas kepala.

Ilmu Falak: Awal waktu solat Zohor ditentukan dari waktu tengahari ketara yang dipanggil waktu zawal (transit atau zenith: rembang) di mana matahari berada paling maksimum di atas kepala iaitu 90 darjah. Tergelincir matahari adalah kedudukan minimum matahari melepasi titik meridian zawal tadi sebanyak 1 minit 4 saat atau 0.017778 jam. 1 minit 4 saat ini dihitung berdasarkan ukuran diameter matahari dalam sudut sebanyak 32 minit. Jejari matahari sebanyak 16 minit telah digunakan untuk menganggap gelincirnya matahari iaitu: bagi satu bulatan 360 darjah sehari semalam adalah bersamaan dengan puingan bumi 24 jam. Satu darjah (60 minit) bersamaan dengan 4 minit pusingan bumi. Maka 16 minit adalah bersamaan dengan 64 saat atau 1 minit 4 saat bagi rotasi bumi.

2. Waktu Asar

Hukum: Waktu solat Asar, waktunya dimulai dari habisnya waktu Zohor, bayang-bayang sesuatu lebih daripada panjangnya selain ketika matahari tegak di atas kepala sehingga sampai terbenam matahari.

Ilmu Falak: Awal waktu solat Asar adalah ketika bayang objek lebih sedikit dari panjang objek. Dalam perkiraan adalah menentukan berapa besar sudut matahari waktu Asar. Ini bergantung kepada kedudukan lokasi sesuatu tempat dan kedudukan deklinasi matahari pada hari perkiraan itu dibuat.

Mazhab Syafie: Tan Z = Tan (f + do) + 1, Mazhab Hanafi: Tan Z = Tan (f + do) + 2

3. Waktu Maghrib

Hukum: Waktu solat Maghrib, waktunya dari terbenam matahari sehingga sampai hilang syafaq atau mega merah (disebut twillight). Syafaq ialah pancaran cahaya matahari di ufuk langit/laut ketika matahari terbenam. Ada dua pancaran cahaya ini iaitu pertama sekali ia berwarna merah, apabila ia menghilang muncul pula cahaya putih yang menandakan hampir masuknya waktu Isyak.

Ilmu Falak: Ia berlaku ketika seluruh piringan atau cakera (disc) matahari terbenam di bawah ufuk langit/laut. Diketahui bahawa disc matahari bersaiz 32 minit sedangkan rujukan selalunya dibuat pada bahagian jejarinya iaitu 16 minit. Maka apabila matahari terbenam, sudut disc itu berada sebanyak 90 darjah 16 minit dari titik zawal tengahari. Setelah pembiasan atmosfera (refraction) sebanyak 34 minit diambilkira, didapati sudut ini menjadi 90 darjah 50 minit yang dianggap sebagai piawai untuk matahari benar-benar terbenam di bawah ufuk langit/laut.

4. Waktu Isyak

Hukum: Waktu solat Isyak, waktunya dimulai dari terbenam mega merah atau munculnya cahaya putih sebelum langit benar-benar gelap pekat. Habis waktu Isyak adalah ketika terbit fajar kedua iaitu fajar sidik yang bertebaran di ufuk langit timur.

Ilmu Falak: Penentuan awal waktu Isyak adalah bermula dari hilangnya mega merah atau munculnya cahaya putih buat seketika sebelum langit benar-benar gelap hingga cahaya bintang begitu jelas kelihatan. Kedudukan matahari pada ketika ini telah diperhitungkan berada sebanyak 108 darjah dari titik zawal matahari tengahari.

5. Waktu Subuh

Hukum: Waktu solat Subuh, waktunya dimulai dari terbit fajar kedua (fajar sidik) setelah fajar pertama (fajar kabih: fajar samar-samar) sehinggalah terbitnya matahari yang menandakan waktu syuruq.

Ilmu Falak: Penentuan awal waktu Subuh bermula dari terbit fajar kedua yang dikira dari kedudukan matahari di bawah ufuk langit timur sebanyak 110 darjah dari titik zawal matahari tengahari.

6. Waktu Dhuha

Hukum: Syariat Islam menentukan waktu Dhuha bermula dari matahari berada setinggi tombak sehingga menjelang waktu solat Zohor.

Ilmu Falak: Ketinggian matahari ketika ini adalah 4 darjah 42 minit (4.7 darjah) dari kaki langit sebelah timur atau 85 darjah 18 minit (85.3 darjah) dari titik zawal tengahari. – Rujukan :Peminat Ilmu Falak, Yahoo Group

Lihat waktu solat kawasan anda

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku".- (Ibrahim 14:40)

One thought on “Penentuan Waktu Solat – Subuh, Zohor, Asar, Maghrib & Isyak

  1. Your blog can go viral, you need some initial traffic only.
    How to get initial traffic? Search in google for: nhuum’s seo

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *