Panduan & Cara Solat Sunat Aidiladha

– Foto AFP

Panduan solat sunat Aidiladha – Hari Raya Haji

Cara solat sunat aidiladha. Sambutan Aidiladha bakal menjelma dan makmurkan hari kebesaran Islam tersebut dengan solat sunat Aidiladha.

Solat sunat Aidiladha adalah solat sunat 2 rakaat yang dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijjah setiap tahun. Hukumnya ada sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut mengerjakannya.

Segala rukun serta syaratnya adalah sama seperti mana solat fardhu cuma ditambah dengan 7 kali takbir pada rakaat pertama dan 5 kali takbir pada rakaat kedua. Di antara tiap-tiap takbir disertakan dengan bacaan tasbih.

Cara Melaksanakan Solat Hari Raya

Berikut cara-cara solat hari raya yang dianjurkan oleh Rasullullah SAW.

Rakaat Pertama

1. Dimulai dengan takbiratulihram iaitu “Allahuakbar” beserta niat:
Niat Solat Sunat Hari Raya“Sahaja aku solat sunat Eidiladha dua rakaat tunai (sebagai imam/makmum) kerana Allah Taala.”

2. Membaca doa iftitah.

3. Mengangkat tangan dan bertakbir sebanyak 7 kali seperti takbir solat fardhu, “Allahuakbar”. Di antara takbir diikuti dengan bacaan tasbih.
Tasbih Solat Sunat Hari Raya

“Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.”

4. Membaca surah al- Fatihah.

5. Membaca ayat daripada surah al–Quran, disunatkan membaca surah al-A’laa atau surah-surah lain.

6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama

 

Rakaat Kedua

1. Dimulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)

2. Mengangkat tangan dan bertakbir sebanyak 5 kali. Di antara takbir diikuti dengan bacaan tasbih.
Tasbih Solat Sunat Hari Raya

“Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.”

3. Membaca surah al-Fatihah.

4. Membaca ayat daripada surah al-Quran, disunatkan membaca surah al-Ghaasyiyah atau surah-surah lain.

5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.

6. Memberi salam.

Setelah selesai mengerjakan solat hari raya, khatib akan membaca 2 khutbah. Khatib disunatkan duduk antara khutbah. Khatib juga disunatkan melafazkan takbir sebanyak 9 kali pada khutbah pertama dan 7 kali pada khutbah kedua secara berturut-turut.

 

Tambahan:

1. Menurut Iman As-Syafie, asal perkataan ‘eid’ iaitu kembali kerana sifatnya yang dilakukan berulang kali setiap tahun.

2. Tidak disunatkan azan dan iqamah, memadai Bilal menyeru “as-Solatul Jami’ah” – Marilah Solat berjamaah.

3. Waktunya setelah naik matahari sehingga sebelum masuk waktu Zohor.

4. Disunatkan tidak makan terlebih dahulu sehingga solat telah dikerjakan.

5. Terlewat – Apabila mendapati jamaah telah selesai solat, kerjakanlah juga solat Aidiladha, jangan ragu dan malu untuk mengerjakannya hingga selesai.

Panduan dan cara solat sunat aidiladha adalah petikan dari Panduan Al-Azim, Wallahua’lam…

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (al-Baqarah [2:45])

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *